Tuesday, October 28, 2008

Nur City Centre

Rumah Nur City Centre adalah merupakan sebuah rumah yang dibuka bagi memberi perlindungan dan membela nasib ibu-ibu tunggal yang hidup dengan HIV/AIDS dan anak-anak yatim HIV/AIDS. Ia telah dibuka sepenuhnya pada 14 Oktober 2006 dimana ia telah diilhamkan oleh saudara Zahrain Zulkifly selaku pengurus besar, penaungnya adalah Dr Ghazali Hasni Bin Hj Mohd Hasan yang ketika itu merupakan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II. Dibangunkan dibawah Pertubuhan Masyarakat Prihatin Kota Bharu, RNCC ini telah ditempatkan No. 226 Jln Belakang Masjid Besar Bachok, Pesisiran Pantai Irama Bachok, 16300 Bachok Kelantan.

Tertubuhnya RNCC merupakan satu harapan daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk melihat kehidupan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang hidup dengan HIV/AIDS di Negeri Kelantan terjaga. Mengikut data yang diperoleh dari Klinik Pakar Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Pertubuhan Masyarakat Prihatin, kes HIV yang didaftarkan semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun 1998, hanya 117 kes didaftarkan dan ia meningkat sebanyak lima kali ganda kepada 637 kes pada bulan Ogos 2004. Setakat ini kes yang berdaftar dengan Pertubuhan Masyarakat Prihatin seramai 280 ibu tunggal yang mempunyai virus. Manakala kes bagi kanak-kanak pula adalah meningkat setiap tahun sehingga tahun 2007 seramai 545 kes kanak-kanak yang telah didaftarkan dan seramai 215 kes adalah dijangkiti virus HIV/AIDS.

Antara faktor utama peningkatan HIV/AIDS terutamanya dikalangan wanita adalah kurangnya kesedaran serta pemahaman yang jelas berkaitan penyakit berjangkit khususnya mengenai HIV/AIDS. Selain itu, faktor sosial dan ekonomi juga turut mempainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan kadar jangkitan penyakit ini dikalangan wanita.

Tujuan utama Rumah Nur ditubuhkan adalah untuk menjadi tempat perlindungan kepada anak-anak yatim HIV. Di sini, mereka akan diberikan pendidikan dari segi rohani dan juga penjagaan kesihatan yang sempurna. Selain itu, Rumah Nur ini juga dijadikan sebagai One Stop Crisis Centre kepada anak-anak dan juga ibu tunggal HIV. Serta mereka akan menjalani kehidupan positif yang jauh dari stigma dan diskriminasi agar taraf dan kualiti kehidupan dan kesihatan mereka dapat dipertingkatkan.

Oleh kerana itu, kami sebagai sebahagian daripada masyarakat yang prihatin melihat masalah ini sebagai satu tanggungjawab dan harus dipikul bersama. Disebabkan rasa tanggungjawab itu, kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu ibu-ibu tunggal ini melalui pelbagai aktiviti yang akan diadakan. Pihak pengurusan Rumah Nur City Centre telah berusaha memberikan pelbagai bantuan dari segi pembelaan, kemahiran, sokong bantu, bantuan kesihatan dan juga sosio ekonomi kepada ibu tunggal dan juga anak yatim HIV.

Oleh kerana itu, kami amat berharap dan mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin membantu kami di Nur City Centre samada secara langsung ataupun tidak langsung. Dengan bantuan-bantuan tersebut juga, diharap agar sedikit sebanyak dapat juga turut membantu kami dalam meringankan tugas-tugas pengurusan tempat ini.
OBJEKTIF UMUM

· Menempatkan ibu-ibu tunggal yang hidup dengan HIV/AIDS dan anak-anak mereka serta anak-anak yatim yang hidup dengan HIV/AIDS dengan prasarana yang lengkap dan mencukupi untuk membawa penghidupan mereka kepada satu tahap agar mereka dapat melalui kehidupan baik seperti masyarakat dan anak-anak yang lain. Memberikan ilmu pendidikan, pencegahan dan rawatan yang berlandaskan teras kasih sayang.

OBJEKTIF KHUSUS


· Mengadakan program berbentuk kemahiran yang akan membantu para penghuni agar mereka dapat menjalani kehidupan yang positif.

· Memberikan sokongan emosi dan mengadakan aktiviti bagi memulihkan tahap emosi mereka (kemarahan terhadap ibubapa) agar lebih positif.

· Menghilangkan sikap stigma dalam diri mereka

· Menghapuskan stigma dan mengurangkan dasar diskriminasi di kalangan masyarakat.

· Mewujudkan kumpulan sokongan (People Group Support) agar mereka dapat meluahkan perasaan sesama rakan serta meningkatkan ketahanan fizikal dan mental dalam kehidupan bermasyarakat disamping membantu dalam pencegahan jangkitan HIV/AIDS kepada orang ramai.

· Menjadikan para penghuni sebagai agen dalam menyampaikan maklumat mengenai penyakit HIV/AIDS di kalangan kumpulan mereka sendiri atau masyarakat.

Monday, June 9, 2008

LATARBELAKANG PERTUBUHAN

LATARBELAKANG PERTUBUHAN

Pertubuhan Masyarakat Prihatin (PMP) adalah merupakan sebuah yang memperjuangkan nasib ibu-ibu tunggal yang terdapat di sekitar Kota Bharu yang hidup dengan HIV/AIDS. Ia telah ditubuhkan pada 16 Julai 2004.

Tertubuhnya PMP merupakan satu harapan untuk melihat nasib ibu-ibu tunggal yang hidup dengan HIV/AIDS di Negeri Kelantan terbela. Mengikut data yang diperoleh dari Klinik Pakar Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, kes HIV yang didaftarkan semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun 1998, hanya 117 kes didaftarkan dan ia meningkat sebanyak lima kali ganda kepada 637 kes pada bulan Ogos 2004.

Antara faktor utama peningkatan HIV/AIDS terutamanya dikalangan wanita adalah kurangnya kesedaran serta pemahaman yang jelas berkaitan penyakit berjangkit khususnya mengenai HIV/AIDS. Selain itu, faktor seksual, sosial dan ekonomi juga turut memainkan peranan besar dalam peningkatan penyakit ini dikalangan mereka.

Oleh kerana itu, selaku ahli masyarakat kami melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab dan harus dipikul bersama. Disebabkan rasa tanggungjawab itu, adalah seharusnya kami cuba sedaya-upaya untuk membantu ibu-ibu tunggal ini melalui pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan.